Tuesday, September 29, 2009

Cerita Raya 3

Posted by Nur Insyirah at 10:13 PM 0 comments

Esok Hari Raya...


Pagi itu selepas sahur... kami dikejutkan dengan berita pemergian sepupu Tok yang tinggal di Pendang. Ibu terdengar bunyi benda pecah di dapur. Botol kaca berisi kerisik yang berada di tangan Tok tiba-tiba terjatuh. Rupa-rupanya Tok sedang menangis selepas menerima panggilan daripada saudara-mara menyatakan perkara yang menyedihkan itu. Pada masa yang sama, Tok sedang membuat Tapai pulut. Baru sampai peringkat kedua iaitu mahu memasukkan ragi ke dalam pulut.

Belum sempat memasukkan ragi ke dalam pulut, Wan dengan serta-merta membuat keputusan bertolak ke Pendang pada pagi itu juga kerana menjangkakan jenazah akan dikebumikan pada jam 10 pagi. Abah, ibu, saya, Tok dan Wan memenuhi ruang Wira WHP3221 menuju ke Pendang pada jam 8.00 pagi. Ibu menghantar SMS kepada Umi memberitahu perkara sebenar kerana Umi sekeluarga bisanya dijangka tiba jam 11 pagi dari K.L.

Tiba di Tol Pendang... kami bertembung dengan nenek di Hentian Tol Pendang. Nenek menumpang jirannya yang pada ketika itu mahu pulang ke Bandar Baharu memaklumkan jenazah akan dikebumikan jam 11 tengah hari. Alhamdulillah kami masih sempat sampai di sana memandangkan jam baru menunjukkan 9.30 pagi.

Tiba di rumah Allahyarhamah, Tok menyelak kain yang menutupi muka dan menunjukkan muka sepupunya kepada ibu. Ibu mengharapkan saya tidak terlalu aktif dan buat bising pada ketika itu. Alhamdulillah saya berjaya mengawal tingkah laku saya. Tepat jam 10.30 pagi, kami sekeluarga bertolak pulang ke Bandar Baharu.

Lebih kurang jam 1 petang kami tiba di rumah. Umi sekeluarga masih belum sampai. Hairan juga. Kemudian, Tok dan Wan bergegas mencari daun palas untuk membalut ketupat. Kelam-kabut juga dibuatnya. Wan mengambil sendiri di rumah salah seorang kawannya memandangkan di kedai seudah habis. Untung juga Wan ke sana kerana Wan mendapat duit raya. Daun palas dapat, duit raya pun dapat. Kelakar. Tidak lama kemudian Umi sekeluarga tiba. Suasana dapur mula riuh-rendah. Semuanya disediakan dengan kelam-kabut. Yalah, perkara tidak dijangka berlaku pada saat-saat begini. Tiba-tiba Pak Lang muncul di dapur. Semua terkejut, ada juga yang terlopong, tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata. Wah! nampaknya satu famili sahaja belum sampai... kelima-lima saudara sebelah ibu semua dapat berkumpul dengan sekelip mata.

Kerja-kerja membuat ketupat bermula. Pada mulanya ibu tidak mahu menyusahkan Umi dan Alang kerana mereka banyak membantu Tok dan Wan pada raya tahun lepas memandangkan kami sekeluarga tidak pulang, tetapi memandangkan masa yang teramat suntuk untuk menyediakannya, jadi mereka terpaksa diminta pertolongan juga. Hajat ibu tidak kesampaian. Ibu tidak sempat mengambil gambar pada situasi yang penuh sibuk ini kerana bateri kamera belum dicaj lagi. Rugi betul!

Posted by:
Nisa

Monday, September 28, 2009

Cerita Raya 2

Posted by Nur Insyirah at 3:37 PM 0 comments

Dua Hari Sebelum Aidilfitri...


Tiada apa yang menarik pada hari ini kerana esoknya belum raya lagi. Kami tidak melakukan sebarang persiapan raya. Saya, ibu dan abah hanya berehat di rumah. Manakala Tok pula masih bekerja di kedainya. Pak Ucu juga masih bekerja.

Masa berbuka sedikit meriah kerana Wan membuat sendiri bahan-bahan bagi menu utama iaitu ikan terubuk bakar. Wan memang pandai bab-bab ini. Namun, hajat mahu membakar di halaman rumah dengan menggunakan sabut dan arang tidak kesampaian kerana hujan. Akhirnya, dapur gas menjadi pengganti. Walaupun kurang menarik, tidak mengapa, yang penting boleh dimakan. Ibu pula membuat sambal tumis sotong dan kangkung gorang belacan. Pak Ngah, Mak Ngah, Kak Long Atikah dan Abang Shahmi datang berbuka bersama-sama. Pelbagai cerita dikongsi bersama.

Posted by:
Nisa

Cerita Raya 1

Posted by Nur Insyirah at 2:36 PM 0 comments

Tiga Hari Sebelum Aidilfitri...


Ibu sudah memohon cuti pada 17 & 18 September yang lalu. Pada mulanya abah mahu pulang ke kampung di Kedah pada hari Jumaat, tetapi setelah memikirkannya semula, abah nekad pulang pada Khamis petang selepas tamat persekolahan. Ibu mula mengemas apa yang patut di rumah.

Lebih kurang jam 2.30 petang, ibu menelefon Tok di kampung memaklumkan kepulangan kami. Tok terkejut kerana seingatnya kami mahu pulang pada hari Jumaat iaitu keesokannya. Tok memaklumkan yang pada hari itu dia, Wan, Pak Ngah sekeluarga mahu berbuka di rumah nenek@Tok Cik. Jadinya, kami diminta terus ke sana sekiranya tiba hampir waktu berbuka. Nasib baik ibu tidak buat kejutan untuk Tok dan Wan, kalau tidak... kami terpaksa berbuka di dalam kereta di hadapan rumah Tok dan Wan sahajalah jawabnya.

Walaupun panas pada petang Khamis itu, ia tidak sedikit pun menjejas kekuatan fizikal kami bertiga. Saya tetap aktif di belakang bersama ibu. Kali ini ibu mengambil keputusan duduk di belakang memandangkan saya sudah besar, penat juga meriba saya jika ibu duduk di hadapan seperti tahun-tahun yang sudah.

Bonet belakang kereta tidak payah cakap... kami bertiga sahaja sudah penuh ruang. Jika bertambah ahli keluarga nanti bagaimana agaknya ya?

Sudah lama tidak pulang ke Kedah, ibu dan abah tidak tahu yang tol Jelapang sudah tiada. Ketinggalan maklumat betul... Apabila singgah di Sungai Perak pula, ibu terkejut kerana tangga menaiki ke tempat rehat Sungai Perak sudah berubah wajah... Dahulunya tangga biasa, sekarang eskalator... wah hebat! Nampak gayanya kami sudah ketinggalan banyak info. Almaklumlah... asal pulang ke Kedah, tempat perhentian utama kami adalah Tapah. Sungai Perak pilihan kedua, kadang-kadang tidak singgah langsung. Sebab itulah....

Lebih kurang jam 6 petang, kami tiba di rumah Pak Ngah kerana Tok dan Wan tiada di rumah. Mereka ke Bazar Ramadan membeli juadah berbuka. Tidak lama selepas itu, Tok dan Wan tiba di rumah Pak Ngah dengan motosikal. Ibu sedikit sayu melihat Tok dan Wan menaiki motosikal. Entah mengapa... hanya ibu yang tahu. Kami bersalam-salaman antara satu sama lain. Kerinduan ibu dan abah terubat jua. Kerinduan Tok dan Wan terhadap saya juga hilang selepas dapat melihat wajah saya.

Tepat jam 6.30 petang pula kami bertolak ke rumah nenek@Tok Cik yang berada tidak jauh daripada rumah Pak Ngah. Motosikal Wan ditinggalkan di rumah Pak Ngah. Begitu meriah sekali dapat berbuka beramai-ramai. Solat terawih juga dilakukan berjemaah di rumah nenek@Tok Cik. Lebih kurang jam 11 malam, kami pulang ke rumah Tok dan Wan.

Posted by:
Nisa

Thursday, September 17, 2009

Ucapan Selamat Hari Raya daripada Ujang Sekeluarga

Posted by Nur Insyirah at 11:24 AM 0 comments
 

Ini Satu Cerita... Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal