Tuesday, September 29, 2009

Cerita Raya 3

Posted by Nur Insyirah at 10:13 PM

Esok Hari Raya...


Pagi itu selepas sahur... kami dikejutkan dengan berita pemergian sepupu Tok yang tinggal di Pendang. Ibu terdengar bunyi benda pecah di dapur. Botol kaca berisi kerisik yang berada di tangan Tok tiba-tiba terjatuh. Rupa-rupanya Tok sedang menangis selepas menerima panggilan daripada saudara-mara menyatakan perkara yang menyedihkan itu. Pada masa yang sama, Tok sedang membuat Tapai pulut. Baru sampai peringkat kedua iaitu mahu memasukkan ragi ke dalam pulut.

Belum sempat memasukkan ragi ke dalam pulut, Wan dengan serta-merta membuat keputusan bertolak ke Pendang pada pagi itu juga kerana menjangkakan jenazah akan dikebumikan pada jam 10 pagi. Abah, ibu, saya, Tok dan Wan memenuhi ruang Wira WHP3221 menuju ke Pendang pada jam 8.00 pagi. Ibu menghantar SMS kepada Umi memberitahu perkara sebenar kerana Umi sekeluarga bisanya dijangka tiba jam 11 pagi dari K.L.

Tiba di Tol Pendang... kami bertembung dengan nenek di Hentian Tol Pendang. Nenek menumpang jirannya yang pada ketika itu mahu pulang ke Bandar Baharu memaklumkan jenazah akan dikebumikan jam 11 tengah hari. Alhamdulillah kami masih sempat sampai di sana memandangkan jam baru menunjukkan 9.30 pagi.

Tiba di rumah Allahyarhamah, Tok menyelak kain yang menutupi muka dan menunjukkan muka sepupunya kepada ibu. Ibu mengharapkan saya tidak terlalu aktif dan buat bising pada ketika itu. Alhamdulillah saya berjaya mengawal tingkah laku saya. Tepat jam 10.30 pagi, kami sekeluarga bertolak pulang ke Bandar Baharu.

Lebih kurang jam 1 petang kami tiba di rumah. Umi sekeluarga masih belum sampai. Hairan juga. Kemudian, Tok dan Wan bergegas mencari daun palas untuk membalut ketupat. Kelam-kabut juga dibuatnya. Wan mengambil sendiri di rumah salah seorang kawannya memandangkan di kedai seudah habis. Untung juga Wan ke sana kerana Wan mendapat duit raya. Daun palas dapat, duit raya pun dapat. Kelakar. Tidak lama kemudian Umi sekeluarga tiba. Suasana dapur mula riuh-rendah. Semuanya disediakan dengan kelam-kabut. Yalah, perkara tidak dijangka berlaku pada saat-saat begini. Tiba-tiba Pak Lang muncul di dapur. Semua terkejut, ada juga yang terlopong, tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata. Wah! nampaknya satu famili sahaja belum sampai... kelima-lima saudara sebelah ibu semua dapat berkumpul dengan sekelip mata.

Kerja-kerja membuat ketupat bermula. Pada mulanya ibu tidak mahu menyusahkan Umi dan Alang kerana mereka banyak membantu Tok dan Wan pada raya tahun lepas memandangkan kami sekeluarga tidak pulang, tetapi memandangkan masa yang teramat suntuk untuk menyediakannya, jadi mereka terpaksa diminta pertolongan juga. Hajat ibu tidak kesampaian. Ibu tidak sempat mengambil gambar pada situasi yang penuh sibuk ini kerana bateri kamera belum dicaj lagi. Rugi betul!

Posted by:
Nisa

0 comments on "Cerita Raya 3"

 

Ini Satu Cerita... Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal