Wednesday, August 25, 2010

Berbuka Puasa Bersama Tuan Abdul Latip Talib

Posted by Nur Insyirah at 1:09 PM 0 comments





Pada Isnin lepas (23hb Ogos 2010) saya bersama ibu berbuka puasa di luar. Kami menerima jemputan daripada penulis tersohor di Malaysia, Tuan Abdul Latip Talib. Saya berasa teruja dan terharu dijemput bersama.

Pada mulanya ibu terfikir-fikir sama ada mahu membawa saya ataupun tidak. Ibu bimbang sekiranya tidak dapat menjaga saya dengan baik, maklum sahaja abah tidak turut sama dengan kami. Akhirnya ibu nekad membawa saya dengan memesan berkali-kali supaya saya tidak nakal-nakal di majlis itu nanti.

Beberapa minit pertama saya menjadi seorang yang pemalu. Tidak lama selepas itu saya seperti berada di taman permainan kanak-kanak. Ibu sudah mula menggelengkan kepala. Adik Khaalish menjadi teman saya pada waktu itu. Tetapi Adik Khaalish baik-baik sahaja, tidak seperti saya.

Saya pun tidak tahu mengapa saya jadi peramah yang amat sangat pada waktu itu. Ibu, jangan serik membawa saya keluar berjalan-jalan ya. Maaf sekiranya saya tidak duduk diam kerana saya memang tidak boleh duduk setempat sahaja pada waktu yang agak lama.

Sunday, July 18, 2010

Seronoknya... Saya Sudah Ada Ramai Kawan

Posted by Nur Insyirah at 12:39 PM 2 comments
Sekarang bilangan kawan-kawan yang ada blog semakin bertambah. Saya suka sebabnya kami boleh berkongsi cerita antara satu sama lain. Ini adalah wajah ceria kawan-kawan saya bersama ibu mereka. Semuanya saya ambil daripada blog mereka. Bolehkan kawan-kawan?

Qistina Safiah bersama mamanya, Puan Norhafeezah.


Haris Rayyan Fathi bersama Ucunya, Cikpuan Majidah Mat Jusoh.


Mardhiah bersama ibunya, Puan Mazniza.


Khalish Rifqi bersama ibunya, Puan Nor Hafizah.


Umar Afif. Saya tidak jumpa gambarnya bersama mamanya.
Mamanya adalah Puan Rafiza.


Wan Zufayhan Al-Fatih bersama mamanya, Puan Fasihah.


Nurul Iman Qistina bersama mummynya, Puan Azlina.

Thursday, July 15, 2010

Ilham Watak Animasi Disney

Posted by Nur Insyirah at 8:11 AM 0 comments
PERTAMA kali memandang buku sederhana tebal berjudul Riang Ria Dunia Persahabatan itu, mata terus tertancap pada ilustrasi lima watak gadis comel berpakaian gaun kembang ala puteri umpama watak ciptaan animasi Hollywood.

Bezanya, puteri comel itu semuanya bertudung manis, lengkap dengan tiara kecil yang menjadi sebahagian daripada penampilan mereka.

Berlatarkan ton merah jambu pada kulit buku, siri Kisah Si Puteri keluaran PTS One Sdn Bhd itu nyata mengundang kelainan dalam dunia bahan bacaan kanak-kanak.

Ia mengetengahkan kehidupan lima puteri, Puteri Arabella, Puteri Dian Adelia, Puteri Farisya, Puteri Qaira dan Puteri Humaira yang digarap oleh lima penulis berbeza.

Salah seorang penulis Kisah Si Puteri, Nahddatun Nisaak Othman, 31, berkata kelahiran buku berkenaan didorong oleh pelbagai faktor. Antaranya adalah melihatkan perkembangan watak animasi Disney yang ramai pengikutnya termasuk di negara ini.

"Kanak-kanak mahupun remaja memang menggemari watak sedemikian justeru kami mengambil inisiatif untuk melahirkan bahan bacaan berbahasa Melayu yang mengambil watak puteri.

"Bagaimanapun, idea keseluruhan termasuk jalan ceritanya diolah mengikut suasana semasa manakala untuk buku pertama ini, kami menampilkan lima cerita bertemakan persahabatan," katanya yang mengetengahkan watak Puteri Farisya dalam buku terbabit.

Menurutnya, tidak hanya menitikberatkan jalan cerita, buku yang dihasilkan lima penulis itu turut memberi perhatian pada ilustrasi. "Pengambilan pelukis ilustrasi pun perlu menerusi uji bakat untuk mendapatkan pelukis yang benar-benar memahami konsep yang kami ketengahkan untuk buku ini," katanya yang sudah empat tahun berkhidmat di syarikat pengeluar buku terkemuka itu.

Rafiza Ab Rahman, 30, yang mengungkap kisah Puteri Arabella, menyifatkan penyelidikan untuk menghasilkan satu-satu karya cukup penting.

"Zaman kanak-kanak kita dulu tak sama dengan kanak-kanak sekarang terutama daripada penggunaan dan penguasaan bahasa mereka.

"Jika mahu kanak-kanak menghayati bacaan mereka, penulis sendiri harus membuat banyak kajian. Ini termasuk daripada sudut bahasa yang harus ringkas dengan penggunaan ayat yang tepat," katanya.

Setiap satu kisah puteri dalam buku berkenaan tidak sampai 30 muka surat namun bagi Rafiza yang memiliki latar belakang jurusan pendidikan di bidang perhutanan ini mengakui ia tetap hadir dengan cabarannya tersendiri.

"Saya tak tahu pun bagaimana kehidupan golongan bangsawan termasuklah puteri raja justeru, harus rajin membuat kajian misalnya menonton filem seperti The Princess Diary," katanya yang menyiapkan cerita puterinya itu hanya dalam tempoh dua hari.

Mengakui gemar membaca buku cerita kanak-kanak terutama disebabkan isu yang diketengahkan tidak begitu memberatkan fikiran, Rafiza sudah menghasilkan tujuh novel dan lima daripadanya berkisar kepada kisah kanak-kanak.

Haryani Kamilan, 31, berkata perkembangan dunia bahan bacaan kanak-kanak kini mendorong penulis untuk mencari kelainan dalam hasil penulisan mereka.

"Untuk menarik perhatian pembaca, penulis seharusnya menghasilkan karya yang berbeza daripada apa yang lazimnya berada di pasaran.

"Justeru, meskipun watak diketengahkan dalam buku ini mengenai kehidupan puteri, ia perlu memiliki karakter berlainan.

"Pada masa sama, apa yang penting, pembaca dapat mengenali kekurangan diri dan secara tidak langsung, belajar untuk mengubah diri hasil daripada bahan bacaan terbabit," katanya yang turut berpengalaman menghasilkan skrip untuk rancangan televisyen.

Mazlia Murat, 29, yang mengetengahkan watak Puteri Dian Adelia, pula sebelum ini lebih menjurus kepada penghasilan novel remaja namun dia mengakui tidak menghadapi masalah untuk mengubah suai cara penulisan untuk bahan bacaan kanak-kanak.

"Cuma pada mulanya, saya bimbangkan penerimaan pembaca kanak-kanak ini daripada sudut penggunaan struktur ayat.

"Apa pun, kepuasan menghasilkan karya untuk khalayak ini tetap serupa dengan penghasilan bahan bacaan untuk remaja.

"Saya sendiri agak teruja apabila melihatkan hasilnya dengan buku yang berwarna-warni malah yakin bahan bacaan untuk kanak-kanak akan terus mendapat sambutan," katanya.

Bagi Nur Hidayahtul Husna Adnan, 25, pula, Kisah Si Puteri adalah percubaan pertamanya menghasilkan bahan bacaan untuk kanak-kanak.

"Saya menyiapkan cerita itu hanya dalam masa sehari namun ia tetap mencabar. Ini kerana saya harus mengetengahkan perwatakan puteri yang nyata berbeza daripada diri saya sendiri," katanya.

Kisah Si Puteri tidak terhenti pada buku pertama ini kerana menurutnya, ada beberapa tema berbeza untuk bacaan kanak-kanak itu yang dijangka menjengah pasaran tahun ini.


Wartawan: Rahayu Mohd Salleh

TAHNIAH IBU DAN KAWAN-KAWAN

Wednesday, July 14, 2010

Ibu Saya Penulis!!!

Posted by Nur Insyirah at 1:21 PM 0 comments

Tahniah kepada ibu kerana akhirnya berjaya menulis buku. Comel sekali watak dan covernya. Ilustrasi dalamnya juga sungguh menarik. Tetapi buku ini bukan untuk saya. Ia untuk kanak-kanak berumur antara 8 hingga 12 tahun. Mungkin apabila saya sudah mencapai umur itu buku ibu sudah banyak di pasaran. Wah! Bangganya saya. Saya perlu ada cita-cita sebegini. Membaca itu jabatan ilmu.

Sekarang ibu dan rakan-rakannya sedang berusaha menulis untuk buku ketiga di bawah siri yang sama. Semoga Allah permudahkan segala urusan dan diilhamkan idea yang melimpah-limpah. (Ini kerana saya selalu terdengar ibu merungut yang dia kekeringan idea.)

Saturday, April 24, 2010

Entry Pertama 2010...

Posted by Nur Insyirah at 8:30 AM 0 comments

Ibu terlalu sibuk hingga tidak sempat kemaskinikan blog saya. Kasihan ibu. Kata ibu, tahun ini tahun paling mencabar buatnya. Banyak benda yang perlu diberi perhatian. Ibu juga memberitahu saya yang dia tidak pernah terfikir akan melalui situasi mencabar pada usianya sekarang. Masih terlalu awal dan masih banyak pengalaman yang perlu ibu cari. Ibu sentiasa pesan pada saya supaya faham dengan kerjaya ibu yang tidak menentu masanya. Di pejabat ibu perlu selesaikan kerja yang tiba-tiba datang tanpa diundang. Sebab itu ada kalanya ibu terpaksa membawa pulang kerja ke rumah kerana mahu mengejar deadline.

Abah pula sibuk dengan studinya. Setiap hari Ahad abah ke kelas. Abah hanya ada satu hari untuk rehat. Ada kalanya hari Sabtu juga abah terpaksa ke sekolah kerana ada sukan sekolah, ganti bagi cuti-cuti peristiwa dan sebagainya.


Walaupun ibu dan abah sibuk tahun ini, mereka tidak pernah leka memberi layanan istimewa kepada saya. Saya tidak kisah blog saya tiada berita, itu tidak berapa penting. Yang penting kasih sayang ibu dan abah kepada saya tidak pernah terabai. Terima kasih Ibu. Terima kasih Abah.

Saya sayang ibu dan abah.

Monday, December 28, 2009

Susun Benda

Posted by Nur Insyirah at 1:32 PM 0 comments


Hobi saya yang terkini adalah menyusun benda. Tidak kiralah apa-apa pun bendanya termasuk kereta abah saya, telefon bimbit ibu, kayu Uno, lego dan segala-galanya. Ibu dan abah kagum melihat hobi saya ini.

Pada suatu hari, ibu mahu menduga saya. Semasa saya sedang leka menyusun kereta comel abah, ibu menterbalikkan bonet depan kereta ke arah belakang. Selepas diteliti ada sesuatu yang pelik, dengan serta-merta saya alihkan bonet depan kereta seperti kereta-kereta yang lain. Ia ternyata sama seperti sediakala. Ibu gembira dan bertepuk tangan tanda memuji saya.

Sunday, December 13, 2009

Dania Arissa Datang ke Rumah...

Posted by Nur Insyirah at 11:53 AM 0 comments
Interaksi di antara saya dan Dania. Kami berdua sahaja yang faham.

Dania bersama mummynya. Masa ini umur Dania belum setahun.

Semalam... Nur Dhia Dania Arissa datang bersama familinya ke rumah. Seperti biasa dia pasti bermalam di rumah saya. Ia menjadi kebiasaan famili kedua-dua belah pihak. Kadang-kadang famili saya bermalam di rumah Dania, begitu juga famili Dania.

Dania sudah berumur 1 tahun pada 8 Disember baru-baru ini. Kami lahir pada tahun yang sama. Minggu hadapan saya sekeluarga dijemput ke parti sambutan hari lahir pertama di rumah Dania di Ampang.

Sekarang Dania sudah petah berkata-kata, tetapi hanya dia yang tahu apa yang diperkatakannya. Dania sangat kelakar. Dia pandai meniru apa yang orang cakap dan juga pandai meniru apa yang orang buat. Dania pandai buat mimik muka. Eeee comelnya....

Wednesday, December 9, 2009

Berat Saya Bertambah

Posted by Nur Insyirah at 5:05 PM 0 comments


Pada 3 Disember yang lalu... 3 bulan selepas saya chek up di klinik Gombak Setia, berat saya disahkan bertambah iaitu 9.8 kg daripada 9.2 kg. Alhamdulillah....

Ibu tersengeh sampai ke telinga. Mana tidaknya, sebelum ini berat saya hanya naik 0.1 selepas ditimbang 3 bulan (9.1 kg) selepas 3 bulan berikutnya (9.2 kg). Selama 3 bulan hanya 0.1! Ibu sudah risau. Tetapi sekarang ibu tidak perlu risau lagi. Siap boleh tidur nyenyak lagi....

Nurse pesan... kurangkan minum susu dan banyakkan makan nasi. Elakkan juga kemalangan di rumah. Saya sama sekali tidak dibenarkan memakan makanan ringan. Buah-buahan digalakkan. Dia memuji saya apabila berat badan saya berada di line putih. Cantik katanya. Apabila ibu memberitahu apa yang saya boleh lakukan sekarang, nurse cakap itu sudah cukup bagus. Sekarang saya faham apabila ibu suruh saya buat sesuatu. Saya juga pandai menconteng di atas kertas. Saya mencuba membuka baju sendiri apabila ibu menyuruh saya ke bilik air untuk mandi. Tahniah untuk diri saya sendiri!

Aidiladha di Kelantan

Posted by Nur Insyirah at 4:56 PM 0 comments
Sedang bermain dengan cat yang sudah kering.

Bersantai bersama abah di ruang tamu Tok Suna yang baru siap.

Tergaru-garu kerana nyamuk gigit.

Cantiknya rekaan Tok Ayah. Boleh bersantai pada waktu petang.

Sayalah yang sedang bersantai itu.

Ini cerita lama. Ibu tidak sempat kemas kini blog saya....

Saya bertolak balik ke Kelantan pada 24 hingga 29 Nov. Seperti biasa, saya tidak boleh rapat dengan sesiapa yang saya tidak kenali dan baru hendak kenal. Walaupun pernah lihat wajah-wajah yang merindukan saya... tetapi saya tetap malu hendak menghampiri mereka.

Tetapi, bukannya lama pun. Keesokannya saya sudah boleh berbaik-baik dengan ibu dan bapa saudara saya. Bapa saudara saya yang bongsu berumur 4 tahun. Muda lagi sudah ada anak buah. Tok ayah bukan main seronok dapat berjumpa dengan saya. Mana tidaknya, hari-hari asyik bertanyakan tentang saya sahaja. Mak Tok pun begitu juga. Mak Tok maintain sahaja bodynya. Macam anak dara.

Seronok dapat balik kampung... ada ramai kawan. Walaupun ibu dan bapa saudara saya tetapi mereka macam kawan saya sahaja. Terima kasih Tok Ayah & Mak Tok kerana melayan kerenah saya. Terima kasih juga buat Cik Atikah, Paklang Hanif, Cik Aisyah, Cik Shikin Puteh, Cik Wawa, Cik Una, Cik Uni, Pakcik Ahmad, Pakcik Iddiq dan Paksu Azfar kerana sanggup mendukung saya ke hulu dan ke hilir dan menjaga saya semasa ibu dan abah keluar ke Pasir Mas.
Mood tidak baik di pagi raya.

Bersama-sama ibu dan bapa saudara.

Sunday, November 22, 2009

Tolong Ibu Kupas Bawang Merah

Posted by Nur Insyirah at 11:13 PM 0 comments


Apabila terdengar ibu membuka laci dapur, sepantas kilat saya pun menuju ke dapur. Entahlah apa yang menarik sangat dengan dapur. Saya suka sangat masuk ke dapur. Dapur... oh dapur....

Ibu selalu pesan, jangan main bawang... nanti pedih mata. Tangan pula kotor kerana orang tidak basuh kulit bawang, orang hanya basuh bawang yang sudah dibuang kulitnya. Bukan setakat bawang, kadang-kadang cili merah pun saya main. Tetapi tidak pula saya pernah merasai sakit mata akibat bermain bawang ataupun pedih tangan akibat bermain cili merah. Selamba sahaja saya pegang. Tidak ada apa-apa yang berlaku pun! Hebat!

Saya tahu ibu letih selepas pulang daripada bekerja. Maka, saya dengan ringan tulang mahu menolong ibu di dapur. Niat saya memang mulia, tetapi ibu yang tidak galakkan. Jadi, bagaimana? Apa yang perlu saya lakukan bagi meringankan beban ibu?
Saya rasa saya tidak dapat buktikan pada ibu yang saya dapat ikut pesanan ibu itu.

Ibu kata, caranya adalah... duduk diam-diam di ruang tamu. Ia cara paling berkesan membantu ibu di rumah. Err... bolehkah saya duduk diam-diam? Semasa tidur sahaja baru boleh diam. Jangan marah ya, ibu... hihihihi.

Saturday, November 21, 2009

Di Pejabat Ibu... Wangsa Melawati

Posted by Nur Insyirah at 2:17 PM 0 comments
Sama sahaja gaya tidurnya...

Hari ini saya mengikut ibu ke pejabatnya di Wangsa Melawati. Ibu sengaja mahu saya menemaninya, kerana pada sebelah petangnya abah mahu mengambil Pak Lang Hanif di Puduraya. Lagi pun saya ada rakan-rakan cilik lain seperti Mardhiah dan Abang Anas.


Ibu dan rakan-rakannya packing barang-barang untuk berpindah nanti. Minggu hadapan ibu hanya bekerja satu hari. Selasa kami sekeluarga akan pulang beraya haji di Pasir Mas Kelantan. Jadi memang tidak sempat ibu hendak mengemas barang-barangnya pada hari bekerja.

Ini pertama kali saya datang ke pejabat ibu. Seronok juga kerana banyak barang-barang yang tidak pernah saya lihat dan tiada di rumah. Tetapi, kepala saya asyik terhantuk pada meja kerana meja-meja di pejabat ibu sama tinggi dengan kepala saya. Coklat yang ibu buat perhiasan habis saya kerjakan. Akhirnya, semua coklat itu ditempatkan ke dalam tong sampah sahaja.

Ibu sibuk mengemas, saya pula tertidur. Letih juga jadi peneman tapi mesra ini ya.

Tuesday, November 17, 2009

Selamat Menyambut Ulang Tahun Perkahwinan

Posted by Nur Insyirah at 8:23 AM 0 comments
Selamat menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-3 diucapkan kepada abah dan ibu. Hari ini, 17 November 2009 genap tiga tahun abah dan ibu bersama. Saya sentiasa mendoakan abah dan ibu berbahagia di samping saya dan semoga ikatan yang terjalin kekal hingga ke akhir hayat.

Tuesday, November 10, 2009

Tahniah Auntie Kiki

Posted by Nur Insyirah at 3:12 PM 0 comments

Sayaaaangggg poster ini!

Posted by Nur Insyirah at 1:47 PM 0 comments


Saya asyik monyok sahaja sejak kebelakangan ini. Masakan tidak, certia kegemaran saya Geng sudah tidak dapat dipasang lagi kerana CDnya sudah rosak. Saya juga yang merosakkannya. Saya suka bermain-main dan pegang CD itu dan kadang-kadang saya peluk hingga meninggalkan kesan calar-balar pada badan CD itu. Kasihan. Saya memang tidak pandai menjaganya pada umur sebegini. Akhirnya, saya juga yang merana kerana tidak dapat menontonnya lagi.

Melihat keadaan saya begitu, abah tidak sampai hati. Beberapa hari kemudian, abah memebelikan saya DVD Geng yang baru. Seronoknya.... Tetapi, saya nampak ibu seolah-olah membisikkan sesuatu pada telinga abah. Saya rasa ibu memberitahu abah supaya jangan tunjukkan kepada saya DVD dan covernya sekali. Bimbang ia rosak dan terpaksa keluarkan RM untuk kesekian kalinya hihihihi.

Apa yang dapat saya pegang adalah poster sahaja. Poster pun posterlah! Biasanya, setiap malam saya mesti tidur awal. Tetapi memandangkan malam itu saya sudah lama tidak menonton Geng, masa tidur saya berganjak ke jam 10 malam.

Monday, November 9, 2009

Muka Kalah

Posted by Nur Insyirah at 10:53 PM 0 comments
Pada 7 November yang lalu, abah ke stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 di antara Negeri Abah dengan Negeri Sembilan. Hujan turun dengan lebatnya petang sebelum kejadian menyebabkan mood abah seolah-olah menurun. Walau bagaimanapun, selepas menunaikan solat Asar, abah terpaksa meredah juga hujan kerana semangat juang yang tinggi. Julung kalinya abah berbuat begitu, kerana sepanjang hidup abah nergeri kelahirannya itu belum pernah berjaya melayakkan diri ke piala penuh berprestij itu.

Akhirnya tinggal ibu dan saya yang setia menjaga rumah. Saya seperti biasa tidak boleh diharap langsung menjaga rumah kerana mata sentiasa tidak dapat menahan. Ibu sahaja berjaya menyengkang matanya menunggu abah pulang. Kasihan ibu kerana melayan Sehati Berdansa seorang diri. Tetapi sempat juga ibu berFB. Amboi!

Ibu menerima sms bertubi-tubi daripada ibu dan ayah sedara saya (adik-adik abah yang perihatin) di Kelantan. Masing-masing bertanya abah sudah pulang ataupun belum. Adakah patut, Pak Lang Hanif suruh abah bawa saya dan ibu bersama-sama ke Bukit Jalil? Saya takut nanti saya yang terlebih pula. Ibu sempat juga menukar siaran sesekali. Pada masa itu Kelantan sudah bolos 0-2.

Ibu berhajat mahu menyuruh abah pulang awal apabila nampak sudah tidak ada peluang untuk menang. Bukannya apa, ibu risau berlaku apa-apa perkara yang tidak seronok didengar. Balingan botol air, bunga api dan sebagainya. Tetapi abah seolah-olah dapat merasai bisikan ibu, abah pulang ketika Kelantan akan dibolosi dengan sepakan penalti pasukan lawan. Abah sampai ke rumah lebih kurang jam 11 lebih. Rupa-rupanya abah tidak tahu yang pasukan negerinya itu tidak 0 tetapi ada juga rezeki mereka mendapat 1. Jadilah... daripada 0.

Kesannya, keesokan paginya... inilah reaksi wajah saya!

Kereta Merah Rosak, Dapat Basikal Baru

Posted by Nur Insyirah at 10:43 PM 3 comments

2 gambar di atas adalah reka bentuk rambut semula jadi
saya selepas beberapa jam mandi.


Dan 2 gambar ini pula adalah reka bentuk (tidak semula jadi)
yang sudah disikat selepas mandi.

Beberapa hari yang lalu, abah belikan saya basikal baru. Memandangkan kereta merah kesayangan saya sudah rosak untuk dipandu... abah menggantikan dengan kenderaan lain pula. Yang ini lebih mencabar kerana tinggi. Setakat hari ini saya hanya mampu menguis dengan hujung jari kedua-dua belah kaki saya.

Setiap hari saya asyik terngiang-ngiang wajah basikal semut saya ini. Balik sahaja dari rumah Mam Ina, saya terus naik basikal saya.

Terima kasih abah atas pemberian yang penuh bermakna ini. Saya harap saya dapat menjaganya dengan baik. Saya juga berharap ia tidak cepat rosak seperti kereta merah yang kecil itu.

Friday, October 16, 2009

Selamat Hari Lahir... Abah

Posted by Nur Insyirah at 1:24 PM 0 comments
Hari ini 16 Oktober 2009, adalah hari lahir abah. Saya doakan semoga abah panjang umur, murah rezeki, sayangkan saya dan ibu... hingga ke akhir hayat. Saya dengar ibu kata ada hadiah istimewa untuk abah... apa ya???

Tuesday, October 6, 2009

Cerita Raya 5

Posted by Nur Insyirah at 1:33 PM 0 comments




Raya Kedua...

Kami bercadang ke rumah Mak Ujang di Sungai Tengas, Selama. Di sana memang seronok kerana suasana kampungnya terasa. Ibu hanya fikir mahu ke kebun Ujang dan Mak Ujang. Sepatutnya hari raya kedua Ujang sekeluarga pulang ke Bandar Baharu. Jadi, ibu menelefon Ujang memberitahu hajat kami. Kami bernasib baik kerana Ujang nyaris-nyaris bersiap-siap bertolak ke Bandar Baharu. Kami ke sana lebih kurang jam 10.30 pagi.

Setiba di sana, saya, Abang Furqan dan Abang Farhan bukan main seronok lagi bermain dengan Abang Ikram, Kak Muna, Abang Arif dan Kak Nuha. Ujang memasang Geng supaya kami dapat berehat-rehat sambil menonton cerita kegemaran saya, mungkin juga kegemaran semua sebaya saya.

Selesai cerita Geng, abah mendukung saya di luar rumah. Kelihatan kolam yang sederhana besar dengan air yang memenuhi ruang kolam berkenaan. Pada mulanya abah memasukkan kaki saya ke dalam kolam itu. Seronok juga. Kemudian, abah menyuruh ibu menanggalkan baju dan memakai seluar kecil sahaja yang dibekalkan Ujang. Mungkin seluar Kak Nuha :D

Abah memasukkan saya ke dalam kolam, tetapi tidak lepas daripada memegang saya. Air kolam itu sama paras dengan dada saya. Fuh... bukan main sejuk dibuatnya. Tetapi memandangkan tengah hari... sesuailah. Kemudian, Kak Muna dan Abang Ikram melihat sahaja dari belakang. Cemburu sebenarnya. Kak Muna meminta kebenaran daripada Mak Ujang untuk turut serta dengan saya. Sepantas kilat Kak Muna menukar pakaian apabila dibenarkan oleh Mak Ujang.

Lama-kelamaan kolam terpaksa menampung 7 orang kanak-kanak apabila Abang Furqan dan Abang Farhan juga turut serta. Wah! Inilah saat paling seronok setakat saya pulang beraya di kampung. Sebabnya, saya tidak pernah ke mana-mana tempat seperti mandi sungai, laut dan sebagainya.

Oleh kerana sudah lama bermain dan bergambar, tiba masanya menukar semula pakaian. Saya meronta-ronta tidak mahu berhenti bermain-main dalam kolam. Maklumlah sangat seronok hingga tidak dapat dibayangkan. Tetapi, abah terpaksa juga menahan keseronokan saya itu kerana sudah lama saya bermain. Lagi pula, sudah hampir jam 1 petang, sudah nama pun hari raya, bukannya hari berkampung di Sungai Tengas. Menurut Wan, ada tetamu hendak datang ke rumah lebih kurang jam 2.30 petang. Selepas selesai makan nasi, kami bertolak pulang.

Posted by:
Nisa
 

Ini Satu Cerita... Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal