Sunday, July 12, 2009

Meja Studi... Babak 1

Posted by Nur Insyirah at 1:07 PM 0 comments

Saya suka memanjat kerusi meja makan. Itu adalah akal terkini yang saya dapat. Ibu asyik terkejut apabila saya sudah berada di atas kerusi secara tiba-tiba. Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu kerana rungsing saya akan terjatuh apabila ibu dan abah leka walaupun hanya beberapa saat.

Kerana itu... abah dengan rasminya membelikan saya set meja studi untuk saya. Dengan harapan saya tidak memanjat kerusi orang dewasa lagi. Memang menjadi. Saya tidak pedulikan kerusi orang dewasa lagi. Saya suka bermain dan menonton dengan duduk di atas kerusi saya.

Namun, ia tidak kekal lama. Apabila saya bosan menggunakannya, saya berbalik pada tabiat saya yang suka memanjat kerusi orang dewasa. Akhirnya, kerusi tersebut terpaksa dipindahkan ke dalam bilik stor. Tinggallah meja makan sahaja, tanpa kerusi. Sekiranya ibu dan abah hendak makan berhidang, mereka terpaksa makan seperti buffet hehehehe. Apabila ada tetamu datang barulah kerusi itu dikeluarkan.

Nampaknya, saya lebih suka benda yang mencabar.

Posted by:
Nisa

Abahku Belikan Kereta.... Kereta Kecil Warna Merah

Posted by Nur Insyirah at 12:47 PM 0 comments

Sebenarnya sudah lama abah belikan saya kereta, tetapi ceritanya tidak dikemas kinikan dalam blog ini. Jadi secara langsungnya, ibu sudah lupa apakah cerita di sebalik wujudnya kenderaan merah ini.

Tiada apa yang menarik untuk diceritakan. Pada mulanya saya tidak pandai menggunakannya. Saya tidak tahu mengapa benda berwarna merah ini diberikan kepada saya. Selepas mendapat tunjuk ajar daripada guru school driving, barulah saya faham bagaimana hendak menggunakannya. Pada masa itu, kaki saya tidak dapat menjejaki lantai. Jadinya, ibu dan abah terpaksa menolak saya dari belakang.

Sekarang tidak lagi. Kaki saya sudah panjang. Saya sudah boleh gerakannya dengan sendiri. Disebabkan saya begitu agresif menggunakannya, kadangkala menyebabkan saya terlentang kerana menyandar pada bahagian belakang kereta. Bukan main sakit kepala saya. Jika saya tidak menangis alamatnya saya tidak normal. Sebenarnya bahagian itu tersangat ringan dan tidak sesuai disandar. Lalu abah membuang dan menyimpan penyandar berwarna kuning tersebut. Kereta saya seolah-olah tidak lengkap, tetapi apakan daya, ia bagi mengelak berlakunya kemalangan di rumah.

Posted by:
Nisa
 

Ini Satu Cerita... Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal