Monday, April 27, 2009

Adakah Ini Ibu Saya?

Posted by Nur Insyirah at 10:34 AM 0 comments
Gambar diambil daripada kamera Mama Jid

Benarkah ini ibu? Apa yang ibu sedang lakukan itu? Ini macam kerja berat sahaja? Tetapi... tidak nampak pula seperti keletihan, dan... macam kenal sahaja wajah dua orang di sebelah kanan dan kiri ibu itu, yang membelakangi ibu saya belum sempat berkenalan lagi...

Ya memang benar ini ibu saya. Di sebelah kiri gambar adalah Ustaz Wanzu... dan di sebelah kanan gambar adalah Auntie Fairy. Ceria betul mereka ini. Malam tadi adalah penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Jadi, ibu dan rakan-rakan yang lain sedang sibuk mengemas semula buku-buku bagi dibawa pulang ke stor di Batu Caves. Menurut ibu, walaupun dia tidak bertugas pada hari terakhir, tetapi dia mahu merasai kemeriahan PBAKL tahun ini kerana pada tahun lepas ibu tidak merasainya sebab terpaksa bercuti selepas melahirkan saya.

Abah pula tidak kisah. Mungkin sebab saya pun sudah besar, jadi tidak susah hendak menjaga saya di rumah. Saya pun tidak sedar bila ibu pulang kerana sudah tertidur.

Posted by:
Nisa

Berkunjung ke Zoo Negara

Posted by Nur Insyirah at 10:08 AM 0 comments


Bestnya ke Zoo Negara. Ini pertama kali saya menjejak ke sini. Ibu dan abah pun sama, pertama kali menjejak ke Zoo Negara sejak berkahwin. Dan yang paling best adalah... Abang Furqan dan Abang Farhan pun ada juga.

Seronok betul tengok haiwan-haiwan jinak. Ada anak angkat TV3, tidak lain tidak bukan si Hippo, tapi... Hippo menunjukkan belakangnya apabila kami hendak berpossing dengannya. Sedih betul :( Nasib baik ada anak rusa yang cute. Sempat juga saya bermain-main dengan anak rusa tersebut. So sweet!


Kami juga mengunjungi kawasan untuk kanak-kanak. Antara haiwan yang terdapat di dalamnya adalah kuda, arnab, tupai, burung-burung kecil dan sebagainya yang kecil-kecil belaka.

Lama juga kami di sana. Pukul 10 pagi kami sampai, jam 2 petang kami pulang. Walaupun lama di sana, kami masih tidak sempat mengelilingi gurun Savanah di mana terdapat haiwan lain seperti harimau, singa dan sebagainya. Ibu dan abah sudah letih. Ada jodoh, lain waktu kami akan berkunjung lagi ke Zoo Negara. Tetapi bila? Hehehe...






Poste
d by:
Nisa

Monday, March 16, 2009

Wah! Ramainya...

Posted by Nur Insyirah at 1:43 PM 2 comments
Adengan yang sudah diduga pada awalnya. Saya menepuk kek sebelum ibu memotongnya.
Ini kerana Alang (berbaju hijau) yang menghasut saya supaya menepuk kek. Ummi (bertudung pink) sempat menghalang saya melakukan tindakan selanjutnya. Kak Shida yang sedang sengeh itu begitu gembira sekali.


Sedap pula makan buah ceri.

Abah kata tidak perlu beli kek kartun. Bukannya sedap pun. Lebih baik beli kek untuk orang dewasa,
kerana orang dewasa yang nak makan, bukannya saya.

Pada 14 Mac iaitu hari Sabtu yang lalu, ibu dan abah mengadakan jamuan makan untuk seisi saudara mara dan juga jiran tetangga yang berhampiran. Menurut ibu dan abah, sudah lama rumah kami tidak riuh-rendah dengan suara-suara dwibahasa loghat Kedah dan Kelantan. Jamuan ini sekadar memeriahkan suasana sahaja di samping menyambut ulang tahun kelahiran saya yang pertama.

Bermula jam lima petang, saudara mara memenuhi ruang tamu yang tidak berapa luas. Walaupun begitu, semuanya nampak mesra dengan gelak tawa, cerita-cerita terkini, dan tidak lupa juga wajah-wajah terkini sepupu-sepupu saya. Seronok sekali.

Seperti biasa, menu wajib rumah kami adalah satay ayam yang ditempah dan air sunquick. Menu kedua wajib pula adalah laksa dan puding laici yang ibu buat sendiri. Walaupun hujan pada petang itu, ia tidak menghalang saudara-mara saya menghadiri jemputan kami. Saya begitu seronok sekali dapat bermain dengan sepupu sebaya dan tidak kurang juga sepupu yang lebih tua daripada saya.

Akhirnya saya keletihan kerana memberi layanan yang istimewa kepada para tetamu saya. Hinggakan saya tidak sedar bila saya tertidur. Tetapi tidak mengapa, ibu dan abah boleh membantu saya melayan tetamu-tetamu kami.

Jamuan berakhir jam 10.30 malam. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Makanan semuanya cukup. Terima kasih kepada semua yang datang memeriahkan suasana.


Posted by:
Nisa

Friday, March 13, 2009

Saya sudah 1 tahun 3 hari

Posted by Nur Insyirah at 1:16 PM 0 comments
Mengikut tahun Hijrah, pada 2 Rabiulawal 1430 yang lepas adalah tarikh saya melihat dunia yang fana ini. Manakala mengikut tahun Masihi, tanggal 10 Mac 2009 genap umur saya setahun. Ini bermakna saya ada dua tarikh / hari lahir dalam masa setahun hehehe. Menakjubkan!

Walau bagaimanapun saya tidak tahu bilakan saya diciptakan. Hanya kuasa Yang Maha Esa mengetahui segala-galanya. Sebelum umur saya setahun saya sudah boleh berjalan dengan laju tetapi bukan berlari, gigi masih lagi satu batang, tumbuh dengan tinggi dan yang satu batang lagi antara hendak tumbuh ataupun tidak.

Mama Ina saya menghadiahi saya sepasang kasut berwarna pink yang comel. Nampaknya semakin bertambah koleksi kasut saya. Saya suka! Terasa seperti mahu tidur dengan kasut-kasut saya sahaja. Pantang sahaja nampak ibu meletakkannya di tempat yang boleh dilihat, saya mesti tersenyum dan terus mengambilnya tanpa rasa bersalah ataupun segan silu.






Posted by:

Nisa

Sunday, February 8, 2009

Sudah Boleh Menapak

Posted by Nur Insyirah at 7:54 AM 0 comments
Sekarang umur saya hampir mencecah 11 bulan. Jika sebelum ini saya takut-takut hendak menapak apatah lagi berjalan, tetapi baru-baru ini saya sedikit berani. Disebabkan keberanian saya itu, saya sudah dapat menapak lebih daripada tiga langkah. Alhamdulillah.

Mungkin disebabkan saya mendapat akal baru, selesema menyerang lagi. Itu adalah perkara biasa bagi saya.

Poste
d by:
Nisa

Friday, January 23, 2009

Dua Batang Gigi yang Comel :)

Posted by Nur Insyirah at 1:11 PM 0 comments
Semalam ibu mula perasan yang ada sesuatu berwarna putih di gusi bawah saya. Sebelum ini ibu dan abah hanya menanti kemunculan gigi pertama saya ataupun nama popular lagi dikenali semua iaitu gigi susu. Gusi saya yang agak membonjol sebelum ini nampaknya sudah menghasilkan sesuatu yang keras. Bagi meyakinkan lagi, ibu membiarkan saya menggigit jari telunjuknya dan saya lihat ibu mengangguk-angguk tanda ia memang wujud. Syukur...






Posted by:
Nisa

Sunday, January 18, 2009

Selesema Lagi

Posted by Nur Insyirah at 10:20 AM 0 comments
Sudah dua hari saya selesema. Biasanya menjelang subuh hidung saya buat hal. Siang dan malamnya okey sahaja. Apabila ada gangguan pada hidung, saya seperti tidak nyenyak hendak tidur. Maklum sahaja hanya dapat bernafas melalui mulut sahaja. Suara saya pula serak-serak basah jadinya.

Semalam ibu dan abah bawa saya ke klinik Sri Indah, Taman Samudera Batu Caves. Alhamdulillah dr. mengesahkan yang jantung saya okey dan saya tidak demam. Hanya sedikit sahaja gangguan pada tekak saya. Tetapi dr. kata tidak berbahaya. Ibu dan abah lega mendengarnya.

Namun begitu, saya rasa masih tidak selesa. Hidung saya mula berair dan ibu dan abah sentiasa memastikan supaya saya tidak terjilat hingus saya. Ibu basahkan tuala kecil supaya saya tidak sakit apabila ibu dan abah mengelap hidung saya. Tapi saya rasa masih tidak selesa dan rimas apabila hidung saya disentuh.

Posted by:
Nisa

Thursday, January 8, 2009

Puteri Sulung Uncle Amin & Auntie Azlina

Posted by Nur Insyirah at 8:24 AM 0 comments

Menurut Uncle Amin, nama Nurul Iman Qistina adalah gabungan daripada nama kegemaran antara Uncle Amin dan Auntie Ina. Uncle Amin menyukai nama Qistina, manakala Auntie Ina pula tertarik dengan nama Nurul Iman. Maka, atas persetujuan kedua-duanya, nama puteri sulung mereka disatukan menjadi Nurul Iman Qistina. So sweet.

Puteri yang dilahirkan pada 13 Disember 2008 secara normal di Dewan Bersalin Muslimah, Batu Caves ini memiliki berat 2.9 kilo dan tinggi 50 cm. Tahniah buat Uncle Amin dan Auntie Azlina.

Posted by:
Nisa

Friday, January 2, 2009

Bertepuk Tangan vs Chipmunk

Posted by Nur Insyirah at 1:42 PM 0 comments
Akal baru yang saya peroleh adalah bertepuk tangan. Kadangkala sambil tidur pun saya asyik bertepuk tangan. Mungkin terbawa-bawa dan terngiang-ngiang dalam kepala agaknya. Boleh dikatakan setiap masa mesti saya akan tepuk tangan saya. Pendek kata saya memang tidak seganlah hendak menepuk tangan saya :D

Saya juga memang suka dengar lagu Bad Day nyanyian chipmunk dalam nada dering. Hinggakan semasa mandi pun jika saya terdengar lagu itu saya mesti meronta-ronta mahu keluar dari bilik air. Yang pelik, bukan sahaja bunyi di TV dan HP abah, tetapi apabila ibu menyanyi pun saya suka juga. Satu lagi bunyi iklan megadrama. Meronta-ronta saya hendak keluar dari bilik air. Punya dahsyat pengaruh iklan bagi kanak-kanak seusia saya rupa-rupanya. Tidak perlu ibu ataupun abah yang ajar tetapi automatik datang sendiri. Kenapa ek? Hmmm....

Mengikut kajian ibu, kanak-kanak memang suka benda-benda yang dapat menarik perhatian mereka. Contoh paling ketara yang mempengaruhi mereka adalah bunyi-bunyian. Kemudian diikuti warna. Dua perkara ini adalah gabungan yang istimewa di mata kanak-kanak.
Minda dan mata mereka memberi rangsangan yang kuat kepada dua perkara ini. Sedang kanak-kanak leka bermain mainan di hadapan mereka, namun apabila telinga terdengar bunyi-bunyian yang menarik, terus mata tertangkap dan terpaling pada bunyi-bunyian itu. Sebab itulah cerita-cerita di phd, ctnw, astro ceria dan disney channel digarapkan dengan warna-warni seindah pelangi dan juga suara-suara latar yang ceria dan comel.

Sekarang saya boleh aplikasikan kedua-duanya iaitu bertepuk tangan sambil mendengar nyanyian chipmunk dengan serentak. Apabila mendengar chipmunk menyanyi saya boleh bertepuk tangan.

Posted by:
Nisa

Sunday, December 14, 2008

Langkah Seterusnya... Berdiri di atas Kaki Sendiri

Posted by Nur Insyirah at 4:52 PM 0 comments


Saya seolah-olah sudah boleh berdiri tanpa memegang sesuatu. Tetapi tidak berapa kukuh lagi. Kejap-kejap terduduk. Sebab itulah mulai malam semalam saya seperti susah hendak melelapkan mata. Mungkin saya terngiang-ngiang apabila saya mendapat satu langkah baru agaknya. Hari ini saya memberanikan diri berdiri sendiri untuk kesekian kalinya. Ya... saya memang berjaya! Tetapi... ibu tidak sempat mengambil gambar saya kerana itu adalah aksi spontan.

Hari ini ibu begitu sibuk dengan komputernya. Kata ibu, tarikh akhirnya adalah esok. Saya terpaksa bermain dengan abah dan cik ikin (ibu saudara saya, adik abah yang keenam). Tetapi, saya tidak puas hati... saya mesti hendak menjenguk ibu di dalam bilik komputer. Memang ibu sedang khusyuk menyiapkan kerjanya. Sambil-sambil itu, saya pula sibuk mencari benda yang boleh menarik perhatian saya. Ya... sudah jumpa. Rak buku ibu dan abah... menarik juga susunannya. Rugi jika saya tidak sentuh dan mengemasnya hehehe.

Posted by:
Nisa

Saturday, December 13, 2008

Aidil Adha di Kedah

Posted by Nur Insyirah at 9:31 AM 1 comments



Tahun ini saya sekeluarga menyambut Aidil Adha di Bandar Baharu Kedah. Suasana sambutan di kampung tidak berapa meriah berbanding Aidil Fitri. Namun, bagi kami sekeluarga ia adalah sambutan paling bermakna apabila dapat berkumpul beramai-ramai.

Kali ini saya dapat melihat Wan membalut ketupat menggunakan daun palas. Menurut ibu, ia adalah tradisi turun temurun bagi masyarakat kampung di situ. Berbeza dengan masyarakat kampung abah di Kelantan, tradisi ini bukan menjadi amalan mereka, cuma segelintir sahaja yang mengamalkannya. Agak-agak dari manakah asal usul membuat ketupat ini ya? Hmmm....


Saya juga tidak terlepas daripada menolong Wan, tetapi... lihatlah gelagat saya. Saya tidak berganjak selagi Wan tidak selesai. Apa yang lebih menyeronokkan adalah... saya dapat melihat wajah dapur baru Tok & Wan yang baru diubah suai. Serba hijau. Daripada kabinetnya yang berwarna hijau hingga ke lantai juga berwarna hijau. Terasa begitu tenang sekali. Tapi kata Tok belum selesai sepenuhnya. Lihatlah dinding yang masih tidak cantik dipandang kerana belum lagi dicat. Kerja-kerja ubah suai akan disambung selepas raya haji.


Posted by:
Nisa

Friday, December 12, 2008

Permata Hati Auntie Fyzza & Uncle Qalif

Posted by Nur Insyirah at 2:06 PM 0 comments

Alhamdulillah... tanggal 7/12/2008 iaitu hari Ahad bersamaan 9 Zulhijjah, seorang bayi comel dilahirkan di Hospital Ampang Puteri pada pukul 6.15 petang. Puteri seberat 3.19 kilo itu diberi nama Qistina Safiya (tidak pasti ejaannya betul ataupun salah).

Tercapai juga hasrat Auntie Fyzza memberi nama yang diidam-idamkan kepada puterinya. Nampaknya bertambah seorang lagi kawan sebaya saya walaupun perbezaan umur kami hampir 9 bulan.

##Foto diambil dari galeri foto Uncle Qalif##

Posted by:
Nisa

Thursday, December 4, 2008

Berat Saya Sudah Bertambah...

Posted by Nur Insyirah at 1:57 PM 0 comments
Pada hari Selasa, 2/12/2008 yang lalu... saya pergi check-up untuk kesekian kalinya di klinik. Alhamdulillah berat saya sudah naik ke 7.05 kilo. Ibu dan abah gembira sekali. Manakala tinggi saya sudah 68cm. Puan Misi ada juga mengukur lilit kepala saya, tetapi saya terlupa berapa ukuran yang sebenarnya.

Posted by:
Nisa

Boleh Saya Tolong?

Posted by Nur Insyirah at 1:55 PM 0 comments



Perkara pertama apabila ibu dan abah longgokkan kain di hadapan saya adalah saya akan ambil kain itu dan masukkan ke dalam mulut saya. Seperti biasa, masa yang sesuai untuk ibu dan abah melipat kain baju adalah waktu malam. Kesian ibu dan abah, dan saya juga tidak ketinggalan mahu menolong mereka. Hasrat saya memang mahu menolong, tapi saya rasa saya bukanlah menolong malah hanya tolong sepahkan saja hehehe....

Lihatlah gelagat saya yang bertungkus lumus dan beriya-iya apabila berhadapan dengan pakaian saya. Kadang-kadang ada juga yang tercampak ke belakang saya kerjakan.

Posted by:
Nisa

Wednesday, November 26, 2008

Posted by Nur Insyirah at 10:09 AM 1 comments

No one is born happy...
But all of us are born with the ability to create happiness...

So today, make others happy...
Flash your sweetest smile .....

Have A Day Full Of Smiles

Thursday, November 20, 2008

Dua Suku Kata yang Pertama

Posted by Nur Insyirah at 1:21 PM 0 comments



Aaa... baah... adalah dua suku kata pertama yang keluar dari mulut saya. Ibu dan abah begitu seronok sekali apabila mendengar saya menyebutnya. Sebenarnya sudah lama saya dapat menyebut suku kata ini, tetapi saya lupa bercerita di sini. Seingat saya semasa saya 7 bulan. Pernah juga ibu menyebut iii... buu... tetapi saya tetap suka menyebut aaa... baah... saya tidak boleh lagi menyebut iii... buu.... Selalunya abahlah yang menyahut kerana menyangka saya memanggil abah.

Sekarang saya suka menjerit. Ada kalanya juga saya ketawa melihat gelagat Si Jerry mengenakan Si Tom, seolah-olah saya faham apa yang dilakonkan oleh kedua watak itu. Pernah suatu ketika, ibu pelik apabila saya ketawa sambil menonton kartun kesukaan ibu itu. Hmmm... semuanya kebetulan sahaja.

Menurut ibu juga, kepala saya sudah banyak kali benjol-benjol. Ibu dan abah tidak sempat selamatkan saya daripada tergolek dari sofa tempat saya suka pegang sambil berdiri. Kadang-kadang sambil duduk pun saya boleh tergolek. Kelakar betul. Disebabkan saya terlalu leka bermain, hinggakan imbangan badan saya pun boleh goyah :)

Posted by:
Nisa

Friday, November 14, 2008

6.5 Kilo Sahaja

Posted by Nur Insyirah at 8:23 AM 0 comments
Pada 11hb lepas, saya ke klinik untuk pemeriksaan bulanan. Ibu dan abah terkejut kerana selepas 2 bulan berat saya cuma 6.5 kilo sahaja. Jika menurut carta berat bulanan saya, sepatutnya saya sudah capai 7 kilo. Ini bermakna, lagi 0.5 kilo saya kena kejar.

Pelik juga kerana saya memang suka makan. Nasi saya makan, roti pun saya makan. Pendek kata kalau boleh semua benda saya mahu makan. Badan saya macam sudah berat. Hmm... memang pelik.

Ibu kata, mungkin saya aktif agaknya. Walaubagaimana pun saya perlu capai sasaran 8 kilo lebih. Jika tidak, waaaaaa... mungkin saya diberikan susu formula yang disediakan pihak klinik.

Posted by:
Nisa

Friday, October 24, 2008

Rombongan Alang, Pak Lang & Boy Team...

Posted by Nur Insyirah at 1:54 PM 0 comments
"Mari adik-adik sayang... Abang Furqan hendak bercerita."

"Ey eh Syeera... abang saya dah panggil tu. Jom kita dengar apa tajuk yang nak diceritakan kepada kita."

"Alllaaaaa... best ke Abang Farhan? Macam tak faham je bahasa yang Abang Furqan gunakan. Bahasa kita hanya kita berdua je yang faham. Bahasa dia, Kak Nuha faham lah kot."

"Ye tak ye jugak kan. Kalau begitu kita sembang sesama kita je la. Syeera macam ada cerita je nak bagitahu saya."
"A ah, hari tu badan saya penuh ruam. Dari muka sampai la ke kaki ni."


"Ye ke? Kesian Syeera. Banyak-banyak bersabar lah ye. Hmm... tapi dah sembuh kan?"
"Alhamdulillah... saya dah baik sekarang. Dah boleh sambung berjalan raya dah pun."


"Dan dah boleh senyum juga. Cheessseeee...."

"Errr Abang Farhan... Abang Furqan tu tak habis bercerita lagi ke hehehe?"
"Tu la pasal. Dia tak sedar ke yang kita ni tak dengar cerita dia? Ey Eh, awak nak ke mana pula tu Syeera? Cerita awak dah abis ke?"


"Alamak, Syeera dah tinggalkan saya sorang-sorang. Hmm apa saya nak buat dengan benda ni ye?"

Posted by:
Nisa
 

Ini Satu Cerita... Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal