Kami sekeluarga tiba di rumah selepas program Cakcibo bersama anak-anak hiv pada jam 9.30 malam. Ibu dapat merasakan yang badan saya sedikit panas semasa di dalam kereta lagi. Ibu dan abah mula risau. Mungkin disebabkan itu saya asyik merenget sahaja petang itu. Susu yang dibancuh ibu juga tidak habis diminum. Saya seperti tiada selera hendak makan dan minum.
Tiba di rumah, suhu badan saya semakin panas. Tetapi, ibu dan abah berjaya memujuk saya hingga saya terlena. Oleh kerana keletihan yang amat sangat, kami bertiga terlepas waktu sahur. Biasanya ibu bangun dahulu, kemudian saya dan abah sudah semestinya menjadi orang ketiga. Tetapi pagi tadi akibat kurang rehat, ibu dan abah berpuasa tanpa bangun sahur.
Badan saya semakin panas dan saya rasa tidak selesa. Hingus mula meleleh diikuti batuk-batuk. Ibu dan abah membawa saya ke klinik Seri Indah jam 9.00 pagi. Selepas diperiksa doktor, suhu badan saya mencecah 37.9 darjah celcius. Memang panas kata doktor. Namun, doktor kata dia hanya beri ubat demam, selesema dan batuk dahulu. Tidak perlu antibiotik. Selepas dua hari sekiranya demam saya berlanjutan, saya dinasihatkan merujuk kembali ke klinik berkenaan.
Ibu dan abah memujuk saya supaya breakfast biskut rusk. Alhamdulillah saya dapat juga menjamah sesudu dua sahaja. Saya memang tidak pandai makan ubat, tidak seperti Kak Muna dan Abang Arif, mereka memang suka makan ubat. Kadang-kadang tidak sakit pun mereka boleh makan ubat. Hebat betul mereka itu. Mengapa saya tidak begitu ya? Hmmm.... Saya perlu menelan tiga jenis ubat. Hendak telan satu jenis pun sudah meraung. Akhir sekali saya dipaksa juga menelan ketiga-tiga ubat itu. Sambil diselang-selikan dengan air masak. Sekejap sahaja menangis, selepas itu saya okey saja :)
Saya hanya tidur sahaja hari ini. Mungkin penat sebab kurang selera makan. Mungkin juga mengantuk disebabkan minum ubat batuk. Kedua-duanya betul. Saya hanya makan nasi sekali sahaja. Susu pula berkali-kali ibu bancuh, tetapi sedikit sahaja yang saya minum. Dalam pukul 5.30 petang, ibu memberi saya makan ubat sekali lagi.
Saya tidur awal malam ini. Saya penat sekali. Tetapi, alhamdulillah badan saya sudah beransur sejuk. Mudah-mudahan demam saya hilang menjelang esok, insya-Allah.
##
walaupun saya demam, saya masih lagi boleh tersenyum melihat kamera##
Posted by:Nisa