Tiga Hari Sebelum Aidilfitri...Ibu sudah memohon cuti pada 17 & 18 September yang lalu. Pada mulanya abah mahu pulang ke kampung di Kedah pada hari Jumaat, tetapi setelah memikirkannya semula, abah nekad pulang pada Khamis petang selepas tamat persekolahan. Ibu mula mengemas apa yang patut di rumah.
Lebih kurang jam 2.30 petang, ibu menelefon Tok di kampung memaklumkan kepulangan kami. Tok terkejut kerana seingatnya kami mahu pulang pada hari Jumaat iaitu keesokannya. Tok memaklumkan yang pada hari itu dia, Wan, Pak Ngah sekeluarga mahu berbuka di rumah nenek@Tok Cik. Jadinya, kami diminta terus ke sana sekiranya tiba hampir waktu berbuka. Nasib baik ibu tidak buat kejutan untuk Tok dan Wan, kalau tidak... kami terpaksa berbuka di dalam kereta di hadapan rumah Tok dan Wan sahajalah jawabnya.
Walaupun panas pada petang Khamis itu, ia tidak sedikit pun menjejas kekuatan fizikal kami bertiga. Saya tetap aktif di belakang bersama ibu. Kali ini ibu mengambil keputusan duduk di belakang memandangkan saya sudah besar, penat juga meriba saya jika ibu duduk di hadapan seperti tahun-tahun yang sudah.
Bonet belakang kereta tidak payah cakap... kami bertiga sahaja sudah penuh ruang. Jika bertambah ahli keluarga nanti bagaimana agaknya ya?
Sudah lama tidak pulang ke Kedah, ibu dan abah tidak tahu yang tol Jelapang sudah tiada. Ketinggalan maklumat betul... Apabila singgah di Sungai Perak pula, ibu terkejut kerana tangga menaiki ke tempat rehat Sungai Perak sudah berubah wajah... Dahulunya tangga biasa, sekarang eskalator... wah hebat! Nampak gayanya kami sudah ketinggalan banyak info. Almaklumlah... asal pulang ke Kedah, tempat perhentian utama kami adalah Tapah. Sungai Perak pilihan kedua, kadang-kadang tidak singgah langsung. Sebab itulah....
Lebih kurang jam 6 petang, kami tiba di rumah Pak Ngah kerana Tok dan Wan tiada di rumah. Mereka ke Bazar Ramadan membeli juadah berbuka. Tidak lama selepas itu, Tok dan Wan tiba di rumah Pak Ngah dengan motosikal. Ibu sedikit sayu melihat Tok dan Wan menaiki motosikal. Entah mengapa... hanya ibu yang tahu. Kami bersalam-salaman antara satu sama lain. Kerinduan ibu dan abah terubat jua. Kerinduan Tok dan Wan terhadap saya juga hilang selepas dapat melihat wajah saya.
Tepat jam 6.30 petang pula kami bertolak ke rumah nenek@Tok Cik yang berada tidak jauh daripada rumah Pak Ngah. Motosikal Wan ditinggalkan di rumah Pak Ngah. Begitu meriah sekali dapat berbuka beramai-ramai. Solat terawih juga dilakukan berjemaah di rumah nenek@Tok Cik. Lebih kurang jam 11 malam, kami pulang ke rumah Tok dan Wan.
Posted by:Nisa